Pemain tekong sepak takraw kebangsaan Hairul Hazizi Haidzir. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


MAINLAH demi negara, itulah pesanan yang diberikan bekas tekong negara, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak kepada Hairul Hazizi Haidzir yang dijangka menggalas tanggungjawab di Sukan SEA Filipina 2019.

Menurut Hairul, dia masih terkejut dengan ketiadaan Syahir dan Zulkifli dalam kem sepak takraw negara susulan digantung dua tahun oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atas alasan disiplin.

“Mereka meminta saya menggalas tanggungjawab yang diberi dengan penuh tanggungjawab, demi nama negara,” katanya ketika ditemui di majlis Lawatan Timbalan Chef-Mission, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli semalam.


Hairul Hazizi (dua kanan) ketika sesi latihan skuad sepak takraw.

Menurut Hairul, dia memang berasa sedih dengan ketiadaan Syahir dalam skuad kali ini kerana tiada pemain tonggak.

“Namun Syahir dan Sobey (Zulkifli) ada pesan kepada saya, mereka minta saya menggalas tanggungjawab ini sebagai seorang yang bertanggungjawab dan daripada luar, mereka akan mendoakan pasukan.

“Insya Allah berkat doa mereka dan juga rakyat Malaysia, kami akan bersiap sedia menggalas tanggungjawab diberi. Siapa kata yang mewakili negara itu (tugas) ringan?.

Tugas mewakili negara, membawa bendera (Malaysia) adalah satu tugas yang berat kerana melambangkan maruah negara,” katanya.

Kelmarin, Syahir dan Zulkifli dikenakan hukuman gantung dua tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan ataupun pertandingan dalam dan luar negara oleh PSM.

Selain mereka diminta membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain dan pengurusan persatuan.

Begitupun, kedua-dua pemain berkenaan dibenarkan mengemukakan rayuan mengenai hukuman yang mula berkuatkuasa 27 Jun lalu itu dalam tempoh 14 hari selepas tarikh surat dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:51 PM