Pemain New Zealand, Malachi Buschl (kiri) diasak kapten Malaysia, Shello Silverius pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


SKUAD hoki remaja negara dibelasah New Zealand (NZ), 6-0 dalam Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, malam ini.

Walaupun tampak menunjukkan kegarangan ketika seri 1-1 dengan Australia, kelmarin namun persembahan lesu dipamerkan skuad remaja negara begitu ketara apabila mudah dijinakkan anak didik Bryce Collins.

Skuad remaja negara terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti dan kedudukan seri 0-0 kekal sehingga tamat suku pertama.

NZ terlebih dahulu membuka tirai jaringan padang pada minit k-19 suku kedua perlawanan selepas Moss Jackson yang tidak dikawal mudah menolak bola masuk menewaskan penjaga gol, Hamiz Mohd Ahir.

Bermula daripada gerakan di posisi sayap kanan pada minit ke-23, kapten Xavier Guy bijak menyusup masuk ke kawasan D sebelum memukul bola tepat.

Maks Wyndham-Smith yang sekadar menampan bola menewaskan Hamiz untuk meletak NZ selesa mendahului 2-0. Benteng skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin roboh lagi berpunca daripada gol pukulan sudut penalti Benji Edwards yang menolak bola tepat ke penjuru kiri gawang gol dan skuad Black Sticks semakin selesa dengan kedudukan 3-0.

NZ menambah derita skuad negara pada suku ketiga apabila Edwards sekali lagi mencipta jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-33 bagi mengukuhkan kedudukan 4-0.

Barisan serangan NZ ternyata begitu handal seterusnya membolehkan Edwards melengkapkan hatrik pada minit ke-45 dan 47.


Pemain Jepun, Keigo Tamura (kiri) berebut bola dengan pemain India, Shilanand Lakra.

Sementara itu, Jepun yang tewas dua kali pada saingan itu melakar kejutan apabila mencatat kemenangan tipis ke atas naib juara tahun lalu, India 4-3 dalam aksi penuh dramatik.

Gol pertama skuad kendalian Kyoichi Nagaya dijaringkan oleh Wataru Matsumo pada minit pertama perlawanan dan Kosei Kawabe meledak dua gol pada minit ke-22 dan minit ke-37 manakala Keita Watanabe menjaringkan gol pada minit ke-33.

Gol pasukan India dijaringkan Gursahibjit Singh pada minit ke-31 manakala Sharda Nand Tiwari mencipta jaringan pada minit ke-38 dan jaringan Pratap Lakra pada minit ke-53 masih belum mampu untuk sekurang-kurang melakar keputusan seri.

Keputusan

Britain 1 Australia 0

Jepun 4 India 3

New Zealand 6 Malaysia 0

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:27 PM