Pasukan hoki Perkeso Zon Timur menduduki tempat ketiga Kejohanan Hoki Piala Ketua Eksekutif Perkeso yang berlangsung di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. FOTO Zaid Salim


PASUKAN hoki Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Zon Timur gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk bergelar juara Kejohanan Hoki Piala Ketua Eksekutif PERKESO Peringkat Kebangsaan edisi ke- 11 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sabtu lalu.

Lebih mengecewakan apabila pasukan yang dibarisi pemain gabungan tiga negeri pantai timur, Terengganu, Kelantan dan Pahang gagal mengekalkan status naib juara yang diraih pada kejohanan lalu di Sabah yang mewakili Zon Borneo bersama Sarawak.

Selain Zon Timur dan Borneo, tiga lagi zon yang menyertai kejohanan yang diperkenalkan sejak tahun 2008 ialah Zon Tengah (Ibu Pejabat Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor), Utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan).

Kejohanan sehari itu diadakan sempena Sambutan Bulan Sukan Negara 2019. Impian beraksi di pentas akhir gagal direalisasikan anak buah jurulatih Amir Hamzah apabila pasukan diketuai Mohd Anuwar Abd Ghani itu hanya berjaya mengumpul enam mata dengan tiga perlawanan berkeputusan seri dan satu menang.

Dibarisi gandingan pemain lama dan baru, tuan rumah yang beraksi cemerlang gagal mencipta kejuaraan apabila sekadar mampu menempah tempat ketiga selepas berjaya menumbangkan Zon Borneo dengan jaringan 3-0 pada aksi keempat perlawanan yang dijalankan secara liga.

Menduduki tempat ketiga, Zon Timur berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM200, piala kejohanan dan medal.

Meskipun perlawanan akhir berkesudahan tanpa jaringan dari kedua-dua pasukan, namun kelebihan jaringan yang dihasilkan daripada keseluruhan perlawanan membolehkan Zon Tengah dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini sekali gus mengulangi kejuaraan yang dicipta pada edisi keenam pada 2014.

Kemenangan itu juga menidakkan impian Zon Utara yang juga juara edisi ke-10 mencipta kejuaraan berganda apabila menduduki tempat kedua.

Kejayaan itu membolehkan Zon Tengah membawa pulang wang tunai RM500 piala pusingan kejohanan, piala iringan, dan medal manakala tempat kedua menerima RM300, piala kejohanan, dan medal.

Dua pemain Zon Tengah, Mohd Taufik Sekak dan Rajasegaran Murali Daran masing-masing dinobatkan sebagai pemain terbaik dan pemain veteran terbaik kejohanan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Hoki Negeri Terengganu, Mohd Saberi Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:23 PM