Muhibuddin (kiri) meraikan jaringan selepas menewaskan penjaga gol Britain, Oliver Payne pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru.
Rizar Mohd Noor


MUHAMMAD Muhibudin Moharam muncul wira skuad hoki remaja negara apabila jaringan tunggalnya pada minit ke 46 perlawanan berjaya menewaskan juara bertahan, Britain 1-0 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor, hari ini.

Selepas dibelasah New Zealand, 0-6, semalam skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampil lebih bertenaga bagi mengimbangi kekuatan anak didik Jon Bleby.

Kemenangan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru itu nyata menggembirakan Nor Saiful Zaini sekali gus memungut tiga mata berharga selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan.

Walaupun mengakui berdepan kesukaran terutama prestasi tidak menentu pemain skuad remaja negara.


PEMAIN Malaysia, Muhibuddin Moharam (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Great Britain, Oliver Payne ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru.

"Faktor kecergasan memainkan peranan dan kita lihat sendiri ada ketika pemain tampak keletihan namun pada aksi menentang Britain mereka turun dengan lebih bersemangat dan membentuk persefahaman yang baik di benteng pertahanan.

"Kemenangan itu juga membuka kembali peluang menamatkan saingan di podium namun kita harus menang menentang Jepun pada aksi terakhir dan saya akui berdepan Jepun agak sukar kerana mereka memiliki skil dan pemain mereka juga gemar beraksi dengan pantas," katanya.

Sementara itu, naib juara tahun lalu, India semakin hampir mengulangi kejayaan melangkah ke pentas final untuk dua tahun berturut-turut selepas membelasah Australia 5-1.

Shilanand Lakra mengetuai senarai penjaring buat India apabila meledak dua gol padang pada minit ke-26 dan 29 manakala tiga lagi gol masing-masing disudahkan Dilpreet Singh (44), Gursahibjit Singh (48) serta Mandeep Mor (50).

Gol saguhati Australia pula dijaringkan Aaron Knight pada minit ke-57.

Keputusan perlawanan :

India 5 Australia 1

Malaysia 1 Britain 0

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:08 PM