X
Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark. FOTO File NSTP
Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menepati ramalan untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas menewaskan gandingan Jepun Kohei Gondo-Ayane Kurihara di pusingan pertama hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, hanya mengambil masa 37 minit untuk menewaskan lawan mereka itu 21-17, 21-14.

Pasangan yang menduduki ranking keenam dunia itu dilihat lebih bersedia beraksi di kejohanan berstatus Super 750 itu selepas tersingkir awal pada Terbuka Korea dan China sebelum ini.

Pada pusingan kedua, Peng Soon-Liu Ying akan bertemu gandingan India, Pranaav Jerry Chopra-N Sikki Reddy.

Sementara itu, hasrat perseorangan utama negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain berpengalaman China, Chen Long.

Zii Jia bagaimanapun memberi tentangan sengit sebelum tewas 18-21, 21-15, 16-21 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam 12 minit itu.

Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal ke pusingan kedua apabila tewas mudah 13-21, 15-21 kepada gandingan Korea Selatan yang juga pilihan kelima kejohanan, Seo Seung Jae-Chae Yujung.

Turut menerima nasib sama beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen yang tewas 16-21, 11-21 kepada gandingan Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:37 PM
Digital NSTP Subscribe