Sergio Aguero. FOTO File Agensi
Reuters

PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero terbabit dalam kemalangan kereta sebelum sempat menyertai sesi latihan hari ini tetapi tidak mengalami kecederaan, menurut laporan media Britain.

Sky Sport melaporkan bintang Argentina berusia 31 tahun itu dalam perjalanan ke pusat latihan City ketika ditimpa kemalangan berkenaan.

Gambar kemalangan itu kemudian tersebar di media sosial yang menyaksikan kerosakan pada bahagian depan kenderaan yang dinaiki Aguero.

Dilaporkan Aguero tidak memerlukan rawatan perubatan dan menyertai latihan pasukan menjelang kunjungan ke Crystal Palace untuk aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Aguero sudah menjaringkan lapan gol untuk skuad Pep Guardiola musim ini dan menjadi penjaring terbanyak bersama penyerang Chelsea, Tammy Abraham.

Dia pernah patah tulang rusuk dalam kemalangan jalan raya di Belanda dua tahun lalu ketika dalam perjalanan menyaksikan konsert di Amsterdam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:15 PM