AIDIL mahu semua pemainnya merebut peluang. FOTO EFFENDY RASHID
Izzali Ismail


KETUA jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak mahu semua pemainnya merebut peluang sebaiknya apabila dipilih beraksi di laman sendiri untuk saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Darul Aman Sabtu ini.

Beliau yang berjaya membawa Kedah sebagai juara Piala FA musim ini berkata usaha mencari bekalan selesa di laman sendiri tidak harus disia-siakan lebih-lebih lagi berhadapan pesaing sengit Pahang yang merupakan naib juara Liga Super musim ini.

"Peluang mana-mana pemain untuk dipilih beraksi dalam peringkat separuh akhir Piala Malaysia ini merupakan satu peluang keemasan dan saya mahu mereka memanfaatkan aksi terbaik mereka demi kejayaan pasukan.

"Peringkat separuh akhir ini merupakan peluang terbaik untuk Kedah yang berhasrat melangkah ke pentas final musim ini, jadi saya sangat berharap pemain dapat mengambil segala kelebihan yang ada pada mereka apabila beraksi di laman sendiri.

"Meraka yang terpilih dalam peringkat ini boleh dianggap bertuah kerana sudah menjadi kelaziman bagi mana-mana pemain dalam Liga Malaysia yang sentiasa mengidamkan aksi dipentas penuh prestij seperti ini.

"Aidil juga mengakui Kedah bakal berhadaan satu cabaran yang sengit diperingkat separuh akhir ini kerana melihat pada tahap prestasi Pahang yang yang begitu menonjol pada musim ini selaku naib juara Liga Super.

"Bukan laluan mudah, saya berharap dengan semangat serta peningkatan prestasi yang ditujukkan oleh pemain sejak aksi kumpulan dan peringkat suku akhir lalu dapat membangkitkan lagi motivasi dan keyakinan untuk mencari kemenangan dengan bekalan selesa.

"Apa yang perlu kita lakukan adalah memberi fokus yang lebih tinggi dan mengikut segala perancangan yang telah kita aturkan bagi mengekang ancaman daripada pihak lawan.

"Disamping itu, kami juga perlu sokongan padu daripada seluruh penyokong Kedah dan saya berharap mereka dapat memenuhi Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan paling padu pada tahun ini dan juga merupakan perlawanan terakhir dilaman sendiri untuk musim ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:18 PM