Roger Federer. FOTO File Agensi
AFP

LEGENDA tenis Switzerland, Roger Federer berkata dia akan beraksi pada Terbuka Perancis yang dijadualkan berlangsung di Paris, tahun depan.

“Saya akan bermain di Terbuka Perancis. Saya mungkin tidak banyak beraksi sebelum itu kerana saya memerlukan masa berehat darinya (tenis) dan saya perlukan masa bersama keluarga,” kata pemain berusia 38 tahun itu kepada CNN.

Juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu kembali ke Roland Garros tahun ini selepas tidak beraksi selama tiga tahun di sini sebelum mara ke peringkat separuh akhir.

Federer mengesahkan dia akan bersaingan di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan selepas Wimbledon dan menyertai Terbuka AS. Namun keutamaan sebelum Terbuka Perancis adalah percutian bersama keluarga.

“Kami perlu bercuti, kami perlu rehat dan terutamanya jika saya beraksi untuk Olimpik dan semua pertandingan itu,” katanya.

Di Tokyo dia akan bertanding bagi memburu pingat emas perseorangan lelaki, hadiah utama yang belum pernah dimenanginya.

Awal minggu ini, dia berkata dia terpaksa berdebat dengan pasukannya mengenai programnya selepas Wimbledon dan sebelum Terbuka AS.

“Pada penghujung harinya perasaan saya memutuskan untuk beraksi kembali pada Sukan Olimpik,” katanya.

Federer memenangi empat kejohanan Grand Slam, termasuk Jelajah ATP Final enam kali, namun masih menantikan pingat emas perseorangan Olimpik.


Federer (kiri) dan Stanislas Wawrinka dari Switzerland memenangi pingat emas acara beregu Sukan Olimpik 2008 di Beijing. FOTO File AFP

Dia memenangi pingat emas beregu bergandingan dengan rakan senegara Stan Wawrinka di Beijing pada 2008 namun apabila dia melangkah ke final perseorangan di London pada 2012 dia diketepikan Andy Murray 2-6, 1-6, 4-6.

Federer tidak bertanding di Rio 2016, apabila Murray menang lagi namun dia memenangi Terbuka Australia dua kali dan merangkul kejuaraan Wimbledon pada 2017 sebelum tewas pada epik final pertembungan gelanggang keras Grand Slam kepada Novak Djokovic, pada awal tahun ini.

Pemain tenis Serbia, Djokovic dan seorang lagi pencabarnya, Rafael Nadal, dengan kedua-dua sudah menyatakan mereka akan bertanding di Tokyo, menyebabkan ketiga-tiganya bakal menjadi tumpuan pada kejohanan berprestij tinggi itu.

Federer berada di tempat ketiga dalam ranking dunia sementara Nadal dan Djokovic kedua-duanya memenangi empat kejuaraan Grand Slam pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:57 PM