Fatehah (kiri) bersama ketua jurulatih negara, John Beasley dan Anis Amira Rosidi. FOTO fb Malaysia Track Cycling
Azlan Muhammad Zain


GANDINGAN ratu pecut negara, Fatehah Mustapa bersama-sama Anis Amira Rosidi melakar kejutan apabila menghasilkan gangsa pada Kejohanan Trek Asia 2020 di Korea Selatan, hari ini.

Pada saingan di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon, dua pelumba negara berkenaan menewaskan lawan dari Hong Kong dalam penentuan gangsa.

Mereka ternyata pantas mengatasi lawan dengan catatan 34.792 saat manakala China menewaskan Korea Selatan di final.

Bagaimanapun harapan untuk menyaksikan trio lelaki meraih gangsa dalam pecut berpasukan tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Korea Selatan.

Gandingan Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis mencatatkan 45.066s berbanding lawan 44.920s pada penentuan tempat ketiga itu.

Terdahulu pada pusingan kelayakan, mereka muncul pasukan ketiga terpantas apabila melakukan 45.144s.

Jaguh negara, Azizulhasni Awang tidak beraksi dalam pecut individu susulan kecederaan jari sebelum terbang ke Korea Selatan.

Azizulhasni bagaimanapun akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu.

Pungutan mata bagi acara pecut berpasukan dalam kejohanan peringkat benua berkenaan amat penting untuk anak buah ketua jurulatih, John Beasley dalam misi memburu tiket ke Olimpik Tokyo tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 8:47 PM