Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah (kiri) ketika melawat tempat latihan e-Sukan.
Ferzalfie Fauzi dan Syazwan Msar


BIARPUN pertama kali dipertandingkan pada Sukan SEA, pasukan e-Sukan negara menyasarkan kutipan dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam penampilan sulung pada Sukan SEA ke-30 di Filoil Flying V Centre, Manila, dari 1 hingga 6 Disember ini.

Pengurus pasukan Firdaus Hashim berkata, pihaknya menaruh yakin Malaysia mampu menguasai sekurang-kurangnya dua kategori iaitu Dota 2 dan Hearthstone.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu meletakkan sasaran tinggi dan mengharapkan sinar pingat untuk kategori Starcraft II, Mobile Legends:Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7.

Katanya, skuad negara akan menyertai semua kategori e-Sukan yang dipertandingkan dengan 24 pemain akan menggalas tanggungjawab terbabit dengan memberi tentangan sengit kepada lawan terutama tuan rumah dan Thailand.


Atlet e-Sukan negara menjalani latihan persiapan sukan Sea di Orange Cyber Cafe, Wangsa Maju. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

“Semua pemain yang dipilih adalah berdasarkan keputusan pertandingan yang mereka sertai sebelum ini selepas mengalahkan beberapa pasukan lain.

“Beliau memaklumkan pemain e-Sukan negara menjalani latihan persiapan selama 12 jam sehari di Orange Esports Cafe di Wangsa Maju dan Taman Segar di Cheras,” katanya, ketika ditemui pada sesi lawatan wakil Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, petang ini.

Sebagai rekod, e-Sukan dijadikan sebagai acara pertunjukan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, sebelum buat julung kali dipertandingkan pada Sukan SEA kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:46 PM