Azlan Muhammad Zain


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang bangkit daripada kemalangan pada pusingan pertama untuk meraih perak dalam acara keirin di Kejohanan Trek Asia 2020, hari ini.

Pada saingan final di Korea Selatan itu, The Pocketrocketman terpaksa akur tempat kedua dengan Jepun meraih emas dan gangsa masing-masing menerusi Yuta Wakimoto dan Yuda Nitta.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom yang turut layak ke final keirin menduduki tempat keenam.

Terdahulu pada pusingan pertama, Azizulhasni mencetuskan cemas kepada kem negara apabila terbabit kemalangan di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon.

Tindakan juara remaja dunia dari India, Esow Esow menyebabkan Azizulhasni terjatuh dan dilanggar Shih Feng Kang dari Taiwan sekali gus dia gagal menamatkan perlumbaan.

Esow diberikan amaran oleh komisar perlumbaan susulan insiden berkenaan dengan didakwa menunggang secara berbahaya dan ketiga-tiga pelumba perlu mengharungi repechage untuk memburu tiket ke separuh akhir.

The Pocketrocketman mempamerkan persembahan cemerlang dengan memenangi repechage dan diikuti aksi separuh akhir bagi menempah tiket ke final.

Walaupun perak, ia dilihat pencapaian yang positif dipamerkan Azizulhasni yang terlebih dulu terbabit dalam kemalangan serta kecederaan jari yang dialami sebelum kejohanan bermula.

Tempat kedua pada kejohanan peringkat benua itu turut mengukuhkan kedudukannya dalam ranking kelayakan Olimpik 2020 bagi acara keirin.

Sementara itu, Fatehah Mustapa meraih gangsa dalam 500 meter ujian individu dengan masa 35.283s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:00 PM
Azizulhasni Awang. FOTO File NSTP