Pemain Malaysia, Mohd Hafizi Zainuddin (tengah) meraikan jaringan selepas menewaskan penjaga gol Jepun pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


SKUAD hoki remaja negara menewaskan Jepun, 3-2 pada Kejohanan Piala Sultan Johor 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan bersaing dalam penentuan tempat ketiga dan keempat sekali gus memperbaiki prestasi kurang memberangsangkan pada edisi tahun lalu.

"Kita bernasib baik untuk menang ke atas Jepun. Mereka begitu pantas dengan corak permainan yang mengelirukan namun saya gembira apabila pemain saya mampu mengimbangi kekuatan pasukan lawan dan sasaran untuk mengakhiri kejohanan itu di podium semakin hampir.

"Mungkin kita akan lawan Jepun semula, esok dan bergantung kepada aksi New Zealand dan Australia dan saya lebih suka menentang Australia berbanding Jepun kerana pasukan itu tidak sepantas Jepun," kata Nor Saiful.

Skuad negara mengejutkan Jepun seawal minit kelima pada suku pertama selepas Muhammad Hafizi Zainuddin melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol, Takumi Kitagawa.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila anak didik Kyoichi Nagaya bangkit menyamakan jaringan pada minit kelapan menerusi gol padang Sota Ukai yang menewaskan penjaga gol, Hamiz Mohd Ahir.

Kerapuhan benteng skuad negara begitu ketara apabila skuad Samurai Muda mudah mencipta gol padang pada minit ke-12 suku pertama menerusi Ryuji Tamekuni apabila menyudahkan hantaran Jun Nakahana untuk menamatkan suku pertama dengan mendahului 2-1.

Bersambung suku ketiga, skuad negara bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-42 menerusi pukulan sudut penalti apabila Ariff Syafie Ishak berjaya memperdaya benteng Jepun sebelum menolak bola kepada Amirul Hamizan Azahar yang melakukan penyudah.

Amirul Hamizan mencipta gol kedua peribadi pada minit ke-50 apabila tindakan berani menyusup masuk ke dalam kawasan D sebelum melakukan pukulan kilas meletak skuad remaja negara mendahului jaringan 3-2. Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu finalis tahun lalu, Britain dan India sekali lagi akan membuat perhitungan pada final edisi kesembilan malam esok selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 3-3 dalam saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:15 PM