Peserta sukan tarian negara bagi kategori Tarian Latin di Sukan SEA, Tan Yee Chun (kiri) dan Tan Chee Min membuat latihan persiapan. FOTO Mustaffa Kamal
Iskandar Shah Mohamed


KEM sukan tarian kebangsaan akan mendapatkan sentuhan dua jaguh dunia dari Itali bagi memantapkan persiapan akhir pasukan ke Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Gabriele Goffredo dan Anna Matus yang juga juara Kejohanan Dunia 2017 bakal berada di Malaysia selama dua hari untuk melatih atlet tarian berpasangan Latin Amerika.

Ketua jurulatih kem negara, Chua Zjen Fong berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengesahkan kehadiran pasangan berpengalaman itu yang juga bekas jurulatihnya sebelum ini. 

"Jika persetujuan mutlak dicapai, mereka dijadualkan berada di Kuala Lumpur untuk membimbing atlet negara pada 25 dan 26 November depan.

"Kami berharap ia menjadi suntikan semangat dan bekalan akhir atlet untuk mempamerkan aksi terbaik di Filipina nanti," katanya.

Dalam pada itu, kata Zjen Fong, sebahagian atlet sedang menjalani latihan intensif di luar negara seperti China, Russia dan Slovenia.

Skuad sukan tarian optimis mampu meraih enam pingat tanpa mengira warna menerusi 13 acara yang disertai sembilan atlet negara di Clark nanti.

Atlet yang membawa cabaran negara ke Filipina antaranya Jarell Cheong Tze Wen/ Koh Jinnee (berpasangan biasa), Tan Chee Min/ Tan Yee Chun (Latin Amerika) dan Sam Jee Lek (breaking).

Untuk rekod, Malaysia tidak menghantar atlet bagi sukan tarian selama 12 tahun selepas kali terakhir menyertainya pada Sukan SEA Korat 2007 dengan meraih satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:48 PM