Virgil van Dijk. FOTO EPA
AFP

PEMAIN pertahanan, Virgil van Dijk berkata Liverpool tiada ada apa-apa yang perlu dibimbangkan dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana ketika mendahului lapan mata selepas beraksi lapan perlawanan.

Juara Eropah itu berada di landasan tepat untuk mengakhiri penantian 30 tahun memenangi kejuaraan liga, tetapi Van Dijk percaya tekanan masih kepada Manchester City yang pasti berusaha memenangi kejuaraan liga buat tahun ketiga berturut-turut.

“Saya fikir tiada apa yang perlu dibimbangkan,” kata Van Dijk kepada Sky Sports menjelang kunjungan ke Manchester United pada Ahad.

“Man City adalah pasukan juara, mereka sudah pasti mahu mempertahankan kejuaraan mereka dan kami mahu merampasnya. Daripada pandangan saya, kami hanya perlu melakukannya sahaja.

“Kami seharusnya perlu berseronok dengannya dan berasa penuh yakin, terutamanya cara bagaimana kami memperoleh mata ini, tidak mempamerkan aksi terbaik tetapi masih mampu mencatat kemenangan.”


Virgil van Dijk (dua dari kiri) meraikan jaringan Trent Alexander-Arnold pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Reuters

Kekalahan mengejut City kepada Norwich dan Wolves membolehkan Liverpool menjarakkan kedudukan selepas mempamerkan permulaan cemerlang musim ini.

Begitupun, Van Dijk tetap bimbang dengan kemampuan barisan kendalian Pep Guardiola yang mampu mengubah kedudukan defisit tujuh mata untuk mengatasi Liverpool seperti musim lalu dalam pemburuan kejuaraan yang memisahkan perbezaan satu mata antara mereka.

“Masih terlalu banyak perlawanan lagi, kamu tidak boleh memikirkan mengenainya lagi (menang kejuaraan) - ia tidak realistik.” tambah kapten Belanda itu.

“Saya tidak menyaksikan perlawanan Man City tetapi saya mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang mengirimkan pesanan ringkas kepada saya atau memberitahu sesuatu, terutama selepas perlawanan berdepan Wolves.

“Ia adalah sebahagian daripada kehidupan tetapi kami belajar daripada tahun lalu bahawa kami tidak perlu melihat kepada yang lain sehingga berakhirnya kempen.

“Setakat ini, kami melakukannya dengan baik tetapi Man City pasti tidak akan menyerah dengan mudah.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 9:56 PM