Syed Saddiq (tengah) dan Noorul Ariffin (empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan selepas Majlis Pelancaran Kad Kenangan "Gold Bar" Legenda Sukan Negara. FOTO Aziah Azmee

YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) melancarkan kad kenangan legenda sukan negara dalam bentuk kepingan emas dengan menyasarkan jualan sebanyak 3,000 keping.

Pengeluaran kad kenangan untuk jualan yang julung kali diwujudkan itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai Skim Bantuan Khas Yakeb kepada bekas atlet negara.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, walaupun baharu sahaja dilancarkan, pihaknya sudah menerima kira-kira 500 tempahan setakat ini.

“Ia edisi terhad yang mana kami hanya mengeluarkan 999 keping kad kenangan bagi setiap atlet. Reka bentuknya memaparkan gambar lama dan baharu tiga bekas atlet negara serta pencapaian mereka dengan tersemat kepingan emas 0.5 gram dengan setiap satu berharga RM165.

“RM30 daripada hasil jualan terbabit akan disalurkan kepada TabungX manakala pembeli yang menyimpan kad boleh menjual semula di pejabat POS,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kad Kenangan ‘Gold Bar’ Legenda Sukan Negara di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menyokong usaha dilakukan Yakeb itu.

Edisi awal kad kenangan itu boleh didapati dalam tiga versi berbeza iaitu yang memaparkan bekas juara enam kali bina badan Asia, Datuk Malek Nor, Datuk M Rajamani (olahraga) dan atlet lumba basikal, Datuk Ng Joo Ngan.

Tempahan boleh dibuat dalam talian atau menghubungi Yakeb di talian Hotline 0129996006 atau 03- 20924841 atau e-mel ke [email protected] serta [email protected].

Bayaran tunai atau pindahan bank pula boleh dibuat menerusi akaun CIMB Yayasan kebajikan Atlet Kebangsaan 8000644425 dan akan menerima produk dalam tempoh lima hari bekerja.

Pengeluaran Kad Kenangan “Gold Bar” dijalankan secara usaha sama dengan pihak Triplenine World Gallery.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:31 PM