BROOKS Koepka menarik diri daripada Piala CJ di Korea hari ini akibat kecederaan lutut. FOTO EPA
AFP

JUARA bertahan Brooks Koepka menarik diri daripada Piala CJ di Korea hari ini akibat kecederaan lutut.

“Ketika berada di lapangan untuk permainan semalam. Saya tergelincir di atas konkrit basah, memburukkan kecederaan pada lutut kiri sebelum ini,” kata pemain nombor satu dunia itu dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, Koepka menjalani suntikan sel stem ke dalam tendon di tempurung lutut kirinya yang terkoyak sedikit, kecederaan yang membelenggunya sejak beberapa bulan sebelumnya.

Koepka berkata dia sering berjalan terhincut-hincut terutamanya ketika menuruni bukit tetapi ia tidak menjejaskan hayunannya.

“Selepas berunding dengan doktor saya, saya dinasihatkan supaya menarik diri daripada Piala CJ dan pulang ke rumah untuk ujian berikutnya.

“Saya hargai sokongan dan keprihatinan semua. Saya akan terus memberitahu perkembangan terkini sebaik saya mengetahuinya.”

Pada pusingan kedua semalam, Koepka mencatat tiga di atas par 75 dan tidak dapat meneruskan permainan untuk mengulangi kejayaan tahun lalu di kejohanan Jelajah PGA AS di Korea Selatan, ketinggalan 13 pukulan berbanding pendahulu Justin Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 9:10 AM