GAYA Sigurdsson meraikan jaringan di Goodison Park. - FOTO Reuters
Reuters

EVERTON menamatkan empat kekalahan berturut-turut mereka selepas jaringan Bernard pada babak pertama dan pemain tengah Gylfi Sigurdsson pada masa kecederaan membantu pasukan menewaskan West Ham United 2-0 di Goodison Park, sebentar tadi.

Kelab Merseyside itu mendahului pada minit ke-17 menerusi percubaan solo pemain Brazil, Bernard selepas bertukar hantaran dengan Theo Walcott dalam kotak penalti.

Pemain gantian, Sigurdsson mengesahkan kemenangan hasil rembatan kencang di luar kotak penalti yang gagal dijangkau penjaga gol, Roberto Jiminez pada minit ke-92 sekali gus meredakan tekanan ke atas pengurus, Marco Silva dan keluar dari kelompok tiga tangga terbawah liga.

Everton yang tewas empat perlawanan berturut-turut tampak kekurangan keyakinan selepas terlepas beberapa peluang menambah jaringan.

Pengendali dari Portugal itu berdepan kritikan susulan taktik lapuk sejak beberapa minggu lalu tetapi keputusannya meletakkan Richarlison membuahkan hasil selepas beberapa kali mengancam kubu lawan dan tidak bernasib baik apabila jaringannya dibatalkan akibat offsaid selepas rehat.

Pengurus West Ham, Manuel Pellegrini membawa masuk penyerang Ukraine, Andriy Yarmolenko menggantikan Felipe Anderson pada babak kedua tetapi gagal menembusi gawang tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:17 PM