AKSI Syafiq meraikan jaringan di Stadium Larkin. - FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) masih belum selesa memburu pentas final selepas sekadar menang tipis 2-1 menewaskan Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan akan membuat perhitungan di Stadium Shah Alam, Sabtu depan dan ia dijangka sengit tatkala skuad The Red Giants memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

JDT yang turun tanpa kelibat penyerang import termahal, Diogo Santo akibat kecederaan mempertaruhkan Syafiq Ahmad mengemudi jentera serangan membentuk kombinasi bersama Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera.

Tanpa kelibat Santo, barisan serangan tuan rumah tampak berbisa apabila mengundang cemas buat benteng skuad The Red Giants apabila Syafiq yang bertindak secara solo merembat bola leret pada minit ke-11 namun sedikit tersasar.

Usaha berterusan Syafiq membuahkan hasil pada minit ke-14 selepas menyudahkan bola umpanan Leandro Velazquez walaupun cuba diasak penjaga gol, Khairul Azhan Khalid untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

Namun selang dua minit kemudian, anak didik B Sathiananthan bangkit menyamakan jaringan apabila Ifedayo Omosuyi yang berada di dalam kotak penalti berjaya memperdaya Mauricio Nascimento sebelum merembat bola tepat ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Gawang pelawat terselamat pada minit ke-30 selepas rembatan deras Mohd Afiq Fazail di luar kotak penalti memaksa Khairul Azhan melayangkan badan untuk menepis bola bagi mengelak dibolosi.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali mendahului 2-1 pada minit ke-49 apabila gerakan yang dimulakan Mohd Afiq Fazail yang menolak bola kepada Velazquez bertindak merembat kencang ke penjuru kanan menewaskan Khairul Azhan.

Nasib tidak menyebelahi Selangor pada minit ke-70 selepas rembatan leret Omosuyi di luar kotak penalti sekadar singgah ke tiang kiri gol malah rembatan susulan Khyril Muhymeen Zambri turut terkena tiang dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:11 PM