PELUMBA dan wakil pasukan hadir menerima wang kemenangan daripada pihak penganjur. FOTO Aizuddin Saad
PELUMBA dan wakil pasukan hadir menerima wang kemenangan daripada pihak penganjur. FOTO Aizuddin Saad
Ferzalfie Fauzi

‘BIAR kami jadi contoh.’ Itulah yang diharapkan Ketua Pegawai Operasi (COO) Tour of Peninsular (ToP) 2019, Emir Abdul Jalal selepas menggunakan pendekatan menyerahkan wang kemenangan pada hari terakhir perlumbaan.

Menurutnya, menyerahkan wang hadiah kemenangan kepada pelumba sebaik tamat perlumbaan juga diharap menjadi budaya baharu dalam sukan berbasikal negara.

“Kami sebagai penganjur juga tidak perlu pening kepala. Lebih baik tidak menangguhkan pemberian wang kemenangan dan pada masa sama, pasukan yang bertanding pun tidak perlu bimbang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ujarnya, sistem berkenaan juga adalah satu daripada strategi untuk meyakinkan pasukan luar negara untuk kembali menyertai perlumbaan berkenaan pada edisi tahun depan.

“Ini lebih kepada menunjukkan bahawa perlumbaan ini bukan saja berjaya dari segi penganjuran tapi juga boleh dipercayai. Perkara ini adalah kali pertama membabitkan penganjuran berbasikal di Malaysia dan perlu diteruskan agar ia memberi imej positif kepada peserta,” kata Emir.

Kinan Cycling Team menjadi pasukan terbanyak meraih hadiah wang kemenangan iaitu RM61,379.50 selepas pelumbanya, Marcos Garcia meraih Jersi Kuning (juara keseluruhan) dan juara berpasukan keseluruhan.

Dua pasukan tempatan, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) masing-masing meraih RM61,197.50 dan RM46,182.50.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:30 AM