Firdaus Hashim

PERNAH dilabel ‘tembok besar’ skuad The Red Giants dari 1999-2004, kelibat tonggak pertahanan tinggi lampai, Mohd Nidzam Jamil pasti memeningkan kepala mana-mana penyerang.

Mana tidaknya, terjahan tepat dan kebijaksanaannya dalam membaca pergerakan bola meletakkan Nidzam berada pada kelas tersendiri hingga berjaya menarik perhatian pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Allan Harris untuk berada dalam skuad Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Pada temasya itu, Malaysia meraih pingat perak selepas tewas 0-1 di tangan musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, beberapa siri kecederaan yang menghantuinya menyaksikan pemain kelahiran Kajang, Selangor itu memutuskan untuk menggantung but pada usia 28 tahun sekali gus membuka jalan kepadanya untuk terjun ke dunia kejurulatihan.

Ternyata langkah yang diambilnya itu berbaloi apabila beliau sering menghadirkan keputusan cemerlang setiap kali melatih mana-mana pasukan dan kini, adik kepada bekas pemain kebangsaan, Allahyarham Zaid Jamil itu bergelar pengendali Felda United.

Namun, di sebalik karakter tegas dan seriusnya di atas padang, tersimpan 1,001 rahsia yang tidak semua tahu iaitu jurulatih berusia 39 tahun itu sebenarnya gemar membaca.

MINAT membaca Nidzam ‘turun’ kepada dua anaknya. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Mungkin hobi berkenaan pelik buat seorang bekas pemain dan jurulatih bola sepak, tetapi itulah Nidzam yang memiliki hampir 1,000 koleksi buku dalam pelbagai genre.

Jelas Nidzam, minat membaca ditanam arwah abang dan bapanya sejak beliau di bangku sekolah lagi.

“Arwah abang sering membelikan buku untuk saya. Arwah dan bapa sering bawa balik buku atau komik untuk saya. Sampai sekarang, buku dan komik lama masih tersimpan dan rasanya ada di rumah orang tua saya.

“Bermula daripada situ, menjadi hobi saya sampai sekarang. Setiap kali keluar bersama pasukan ke perlawanan luar dari Lembah Klang, saya akan bawa sekurang-kurangnya satu atau dua buku untuk dibaca.

“Jenis buku tak kisah, saya baca semua jenis buku. Ada buku bola sepak, politik, isu-isu semasa dan macam-macam lagi. Tapi banyaknya buku-buku bola sepak macam sejarah Piala Dunia, buku (Pep) Guardiola dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Semenyih, baru-baru ini.

MINAT membaca Nidzam bermula daripada arwah abang dan bapanya sejak beliau di bangku sekolah lagi. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Katanya, apabila membaca buku, beliau akan menghayati kisah yang diceritakan dalam buku itu untuk membawanya ke alam lain, satu dunia yang jauh berbeza.

“Saat paling ‘best’ bila saya mula berada dalam alam lain dalam buku itu. Macam kalau saya baca buku Piala Dunia, saya akan terbayang diri saya ada dalam suasana Piala Dunia dan ketika itulah datangnya kepuasan yang sukar untuk saya terangkan,” katanya yang menghabiskan 2-3 jam sehari untuk membaca buku.

Jelas Nidzam, satu lagi yang menarik mengenai hobinya ialah beliau suka menghidu kulit buku yang akan dibelinya untuk dibuat koleksi.

“Buku paling mahal pernah saya beli berharga kira-kira RM300. Tapi ada satu lagi yang saya suka adalah bau kulit buku. Bila saya hidu kulit buku... saya rasa sesuatu yang membuatkan saya membelinya dan kemudian baca. Memang pelik tapi ia hobi yang memberi kepuasan kepada saya dan sekarang dua anak saya juga mula meminati buku.”

NIDZAM baca semua jenis buku. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:10 AM