Marquez (kiri) tiba di garis penamat diikuti Quartararo (tengah) dan Dovizioso. FOTO Agensi
AFP

JUARA dunia MotoGP Marc Marquez memenangi perlumbaan Grand Prix Jepun, hari ini untuk mencatat kemenangan ke-10 musim ini.

Ia juga kemenangan ketiganya di litar itu dalam tempoh empat tahun.

Pelumba Honda itu menamatkan perlumbaan dalam masa 32 minit 41.492 saat diikuti 0.870 saat kemudian oleh pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo yang memacu Yamaha dengan penunggang Ducati Andrea Dovizioso tiba 1.325 saat di belakang Marquez.

Marquez jelas sukar dikejar pada pusingan kedua selepas bermula daripada petak utama sulungnya di litar berkembar Motegi.

Quartararo sempat memintas pelumba Sepanyol itu untuk seketika tetapi Marquez kembali mendapatkan pendahuluan untuk menjarakkan kedudukan satu saat di depan pada awal perlumbaan.

“Ia tidak mudah. Saya memang terpaksa bekerja keras sejak awal kerana strategi kami begitu jelas,” kata Marquez.

“Kali ini saya cuba membuka ruang sejak awal kerana jentera saya berasa amat kuat pada sesi pusingan pemanas,” katanya.

Dia bagaimanapun kehilangan fokus seketika ketika perlumbaan kerana motosikalnya menggunakan lebih banyak bahan bakar yang memaksanya bermain dengan banyak punat.”

Marquez tidak benar-benar dicabar dan menikmati kelebihan dua saat di depan Quartararo ketika saingan tiba pada jarak pertengahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:45 PM