Azamuddin Mohd Akil. FOTO Ihsan Kedah FA
Mohd Rafi Mamat


BIARPUN Kedah mencatat keputusan seri 3-3 menentang Pahang pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Alor Setar kelmarin namun itu lebih baik daripada tewas.

Bagi bekas penyerang kebangsaan Azamuddin Mohd Akil, turut tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya selepas gagal menghadiahkan kemenangan di laman sendiri.

Katanya, kejayaan sudah hampir dalam genggaman namun ternyata nasib sahaja tidak menyebelahi skuad Lang Merah.

"Saya puas hati dapat bantu Kedah sepanjang permainan terutama selepas diturunkan pada pertengahan babak pertama, kepercayaan jurulatih Aidil Sharin Sahak dapat diterjemahkan dengan berkesan bagi membantu jentera serangan.

"Kedah memiliki kelebihan ke atas Pahang namun nasib sahaja yang memisahkan kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pengalaman pada perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia diharap menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain untuk melakukan yang terbaik pada Sabtu ini.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Alex berkata, walaupun Tok Gajah memiliki kelebihan di gelanggang sendiri tidak mustahil skuad bimbingan jurulatih Dollah Salleh itu dapat dijinakkan.

Katanya, pengalaman sebagai bekas pemain Pahang sebelum ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pasukan Kedah sekiranya diturunkan oleh jurulatih nanti.

"Tuan rumah Pahang pasti memiliki kelemahan... justeru kelemahan itu perlu digunakan sepenuhnya untuk menjinakkan lawan yang tentunya akan mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.

"Saya harap rakan sepasukan tidak mudah menyerah kalah sebaliknya dapat memberi sepenuh tumpuan pada permainan, elak terlalu banyak melakukan kesilapan sepanjang 90 minit permainan.

"Sedikit kecuaian yang kita lakukan boleh memakan diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 1:00 PM