Azizulhasni (kanan) mengatasi Wakimoto pada final Kejohanan Trek Asia, Korea Selatan, hari ini.
Azlan Muhammad Zain


JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang meraih emas pecut individu di Kejohanan Trek Asia, Korea Selatan, hari ini.

Azizulhasni menewaskan Yuta Wakimoto 2-1 pada pentas final di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon.

Dia tewas pada pusingan pertama kepada pemenang emas keirin berkenaan namun The Pocketrocketman bangkit di pusingan kedua untuk mengheret ke pusingan ketiga perlumbaan.

Lawan dari Jepun itu ternyata gagal mengekang Azizulhasni yang bijak mengatur strategi dan tenang melintasi garisan penamat untuk kemenangan 2-1.

Kejayaan itu mempertahankan emas yang dimenanginya pada awal tahun di Jakarta selain menebus kekecewaan kecundang kepada Wakimoto dalam keirin, Jumaat lalu.

Rakan sepasukannya, Shah Firdaus Sahrom terlepas gangsa apabila tewas dalam dua siri perlumbaan kepada Tomohiro Fukaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 1:53 PM