LIM TEONG KIM
Syazwan Msar


TIGA individu asing sudah disenarai pendek untuk menggantikan tempat Lim Teong Kim sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Sumber memberitahu Arena Metro, bagaimanapun Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Saad Ichalelene yang disebut-sebut menjawat jawatan terbabit sebenarnya tiada dalam senarai pengganti Teong Kim.

Katanya, pengganti Teong Kim kemungkinan besar adalah warga asing yang kini berada dalam senarai akhir pihak berkaitan untuk diumumkan kelak.

“Ia (dilantik sebagai Pengarah AMD) seolah-olah menurunkan pangkatnya (Saad). Saad bukan calon dan tiada dalam senarai calon akhir untuk posisi itu.

“Daripada tiga individu dari luar negara dalam senarai akhir itu, kita sudah kenal pasti individu tepat untuk jawatan terbabit dan ia akan diumumkan November depan,” kata sumber ketika ditemui pada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di sini, semalam.

Ketika ini semua pihak masih lagi berteka-teki mengenai pengganti Teong Kim apabila kontrak bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum tamat pada 31 Oktober ini.

Sebelum ini, nama Saad yang juga bekas jurulatih remaja kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) disebut-sebut sebagai calon utama mengisi jawatan itu, selepas Jawatankuasa Pemandu NFDP memutuskan tidak melanjutkan kontrak Teong Kim.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan sudah ada senarai calon sesuai untuk menggantikan Teong Kim.

Syed Saddiq berkata, proses rundingan masih berjalan dan memberi jaminan AMD bakal menerima pengarah baharu sebelum akhir tahun ini.

“Sebelum 2020 ia (keputusan) akan dimuktamadkan. Calon memang kita sudah ada, tetapi kita perlu memuktamadkan proses itu dan ia bukan mudah. Ada beberapa rundingan yang perlu dibincangkan bersama semua pemegang taruh,” katanya pada sidang media majlis sama.

Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013 dan kemudian memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Bagaimanapun, tugasnya sebagai Pengarah Teknikal diambil alih Saad selepas penstrukturan semula NFDP dibuat pada Disember 2018, susulan kegagalan Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018, sekali gus menutup peluang beraksi pada Piala Dunia B-17 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:01 AM