MOUSSET (dua kiri) meledak gol tunggal perlawanan di Bramall Lane, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

UNAI Emery mendakwa Arsenal tidak bernasib baik mengalami kekalahan mengejut 0-1 di Sheffield United ketika Lys Mousset mencetus kekalahan terbaharu Gunners di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Anak buah Emery tidak menang aksi Liga Perdana Inggeris di laman lawan sejak hari pembukaan musim selepas gagal mengalahkan United di Bramall Lane.

Penyerang Perancis, Mousset, yang melakukan penampilan sulung dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Perdana, menghukum kelalaian benteng Arsenal pada minit ke-30 untuk meledak gol keduanya sejak berpindah dari Bournemouth.

Ia cukup untuk mencetus kekalahan kedua Arsenal musim ini, menamatkan catatan lapan perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

Kelab utara London itu menghuni tangga kelima liga selepas persembahan buruk yang membuktikan tugas Emery membentuk semula pasukan itu masih belum sempurna.


RIAK wajah Emery selepas Arsenal tewas di tangan Sheffield United. — FOTO EPA

Namun Emery menegaskan Arsenal berhak sekurang-kurangnya seri dan mengkritik kegagalan pengadil memberikan sepakan penalti susulan kekasaran ke atas Sokratis.

“Kami tak patut kalah. Kami boleh bercakap mengenai dua detik, pertama gol itu dan satu lagi penalti jelas insiden Sokratis. Dengan VAR, kekasaran itu sepatutnya dikaji semula, tapi kami terpaksa menerimanya,” kata Emery selepas catatan tanpa menang Arsenal di bandar raya Sheffield berlanjutan kepada 26 tahun.

“Kami mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka. Jika kami menjaringkan satu gol, kami boleh mengawal keadaan lebih baik.”

Ditanya jika Arsenal berdepan kekangan mental aksi di gelanggang lawan, Emery berkata: “Kami bersedia bagi perlawanan di laman sendiri dan lawan dengan memikirkan untuk menang.

“Kami berhak meraih keputusan lebih bagus tapi mereka pasukan yang kuat secara bertahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:52 AM