MODRIC memperagakan trofi Ballon d'Or yang dimenanginya kepada peminat di Madrid tahun lalu. — FOTO AFP
AFP

KETIKA Megan Rapinoe menjadi pilihan utama memenangi anugerah Ballon d’Or wanita, penyandang gelaran lelaki, Luka Modric dan pemain termahal dunia Neymar tersingkir apabila majalah France Football mengumumkan calon dalam empat kategori awal pagi tadi.

Modric, yang mengemudi kejayaan Croatia layak ke final Piala Dunia, memecah penguasaan 11 tahun Cristiano Ronaldo-Lionel Messi bagi kategori lelaki tahun lalu.

Bintang Paris Saint-Germain, Neymar gagal berada dalam senarai 30 pemain lelaki selepas setahun dibayangi kecederaan, penggantungan dan kontroversi bersama kelab dan negaranya.

Messi dan Megan baru saja meraih anugerah Terbaik Fifa, yang berpisah daripada Ballon d’Or pada 2016.

Megan mendominasi Piala Dunia Wanita pada musim panas lalu.


MEGAN bersama trofi dimenanginya pada Piala Dunia Wanita, Julai lalu. — FOTO AFP

Dia muncul penjaring gol terbanyak dan dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan ketika dia mengemudi kejayaan Amerika Syarikat muncul juara di Perancis, Julai lalu.

Tahun lalu, pemain Norway, Ada Hegerberg menjadi pemenang pertama anugerah wanita.

Virgil Van Dijk, 28, yang bertindak cemerlang lebih enam bulan bersama Liverpool dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara, mungkin boleh menjadi pemenang kategori lelaki yang jarang sekali diberikan kepada pemain pertahanan.

Fabio Cannavaro adalah pertahanan terakhir menang pada 2006 dan hanya yang keempat sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1956.

Pemenang anugerah itu akan diumumkan 2 Disember ini pada satu majlis di Paris selepas proses undian membabitkan wartawan dari 180 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:18 AM