PEMAIN Real Madrid mendengar arahan Zidane ketika latihan di Stadium Turk Telekom, semalam. — FOTO Reuters
AFP

ZINEDINE Zidane mengakui beliau agak terjejas dengan kritikan terhadapnya sebagai jurulatih Real Madrid ketika pasukannya bersiap sedia bagi aksi penting Liga Juara-Juara di laman lawan menentang Galatasaray, awal pagi esok.

Madrid bertandang ke Turki terdesak untuk meraih kemenangan selepas satu mata daripada dua perlawanan menyaksikan mereka di tangga tercorot Kumpulan A.

Kekalahan mengejut liga di tangan kelab pendatang baharu Real Mallorca, Sabtu lalu mencetus semula tekanan buat Zidane, yang mengemudi Madrid menang tiga trofi Liga Juara-Juara berturut-turut ketika kali pertama mengendalikan kelab itu.

“Mereka lupa dengan apa yang anda buat sebelum ini, itulah kehidupan,” kata Zidane pada sidang akhbar di Istanbul, awal pagi tadi.

“Bagi saya ia sama, ia semuanya mengenai masa kini. Apa yang berlalu sudah berlalu.


ZIDANE melayan soalan wartawan pada sidang akhbar, awal pagi tadi. — FOTO EPA

“Apa yang mereka katakan memang mengganggu saya tapi saya tidak boleh menghalang mereka memberikan pendapat. Ini satu perlawanan besar di stadium besar dan kami tahu situasinya.”

Eden Hazard boleh diturunkan kembali sesudah terlepas aksi menentang Mallorca susulan kelahiran anak keempatnya dan Toni Kroos turut berada dalam skuad selepas pulih daripada kecederaan.

Namun Gareth Bale dan Luka Modric tidak berkunjung ke Istanbul ketika mereka masih dibelenggu kecederaan betis dan paha.

Sesetengah laporan di Sepanyol mencadangkan Zidane mungkin dipecat jika Madrid tidak menang awal pagi esok.

“Saya tidak tahu, anda perlu bertanyakan orang lain mengenainya,” kata Zidane. “Saya mahu berada di sini selama-lamanya tapi situasi boleh berubah.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:45 AM