Nik Akif dikhabarkan akan menyertai Terengganu FC. FOTO NSTP
Malik Muhamad


“TIDAK pasti lagi.”

Itu reaksi pengurus Terengganu FC (TFC), Shahrizal Yahya ditanya mengenai perkembangan terkini bintang muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat yang dikhabar bakal menyarung jersi skuad TFC musim depan.

Shahrizal menyerahkan keputusan kepada barisan jurulatih baharu skuad Penyu diketuai Nafuzi Zain sama ada berminat mengambil pemain itu atau sebaliknya.

“Kami serahkan kepada barisan jurulatih untuk memutuskannya lagipun saya difahamkan kontrak pemain itu masih ada lagi dengan pasukan Kelantan.

“Jadi kita tidak mahu membelakangi prosedur bagi mengelak bermasam muka dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan sebagainya.

“Oleh itu saya harap peminat tidak membuat sebarang spekulasi sendiri berhubung perpindahan pemain itu ke TFC kerana kedudukannya belum pasti,” ujar Shahrizal.

Sebelum ini, tular di media sosial mengaitkan bekas pemain tengah skuad B-19, B-23 dan kebangsaan kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu bakal beraksi bersama skuad Penyu musim depan.

Jika TFC berminat mengikat pemain berusia 20 tahun itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu menebus kontrak pemain itu berjumlah RM1 juta kerana kontraknya bersama KAFA akan berakhir tahun depan.

Namun dengan pengumuman daripada Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar minggu lalu yang mahu mengamalkan langkah penjimatan sehingga 30 peratus musim depan, hasrat TFC jika benar mengidam pemain tengah kreatif itu mungkin tidak kesampaian.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar musim ini iaitu sebanyak RM25 juta bagi membiayai lima pasukan negeri termasuk skuad TFC dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim sebelum meletak jawatan Mei lalu.

Biarpun TFC dan TFC II gagal mengulangi pencapaian musim lalu muncul naib juara Piala Malaysia dan juara Piala Cabaran tetapi kejayaan skuad Piala Belia merangkul trofi sedikit sebanyak mengubat duka peminat setia Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 2:21 PM