FELICE MAZZU
Reuters

RACING Genk mungkin bakal menggunakan taktik yang diterapkan Manchester United ke atas Liverpool apabila mereka bakal menentang kelab kendalian Juergen Klopp dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

Jurulatih kelab Belgium itu Felice Mazzu mengakui beliau kagum dengan pendekatan Ole Gunnar Solskjaer ketika seri 1-1 dengan juara Eropah itu di Old Trafford Ahad lalu.

“Manchester United bermain dengan baik menentang Liverpool Ahad lalu. Sistem mereka iaitu lima di bahagian pertahanan memang menjadi,” kata Mazzu ketika sidang media pra-perlawanan hari ini menjelang kunjungan Liverpool dalam aksi Kumpulan E awal pagi Khamis.

“Ia satu mata yang cukup buat Liverpool biarpun Manchester United bermain dengan baik di kawasan mereka.

Beliau membayangkan Genk mungkin mempertimbangkan pendekatan sama.

“Ia hanya satu pilihan. Anda lihat esok apa pilihan yang saya buat,” katanya.

Mazzu membayang pendekatannya juga bergantung sama ada Liverpool menurunkan Mohamed Salah, yang tidak bermain Ahad lalu.

“Apabila Salah tiada di padang, pergerakan penyerang menjadi sedikit berbeza. Saya tidak tahu jika dia akan ada di sana esok, cedera atau tidak tetapi kehadirannya membawa perbezaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 12:00 AM