SAYED ALFEIZAL SAYED AHMAD
Saiful Affendy Sapran


HANYA bermula daripada litar go-kart sehinggalah melahirkan pelumba dan pemandu bertaraf dunia.

Begitulah peranan besar Litar Speedway Plus terletak di hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ Subang Jaya yang sinonim dengan barisan pelumba negara dan mungkin tidak diketahui sebahagian besar pihak.

Selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC), litar sepanjang 959 meter serta mempunyai 11 selekoh itu menjadi satu-satunya litar di Lembah Klang yang menjadi tempat terbaik kepada setiap pelumba menguji jentera mereka.

Pengarah Eksekutif COMMA Motorsports, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan litar itu sejak 2008, banyak bakat baharu dilahirkan di depan matanya.

Antara nama yang menjadi sebutan ketika ini yang lahir di litar itu adalah pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah; pelumba Kejohanan Motosikal Asia (ARRC), Ramdan Rosli selain bakat empat roda, Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar.

“Ketika mula mengambil alih litar ini, saya ambil keputusan untuk mengoptimumkan penggunaannya bukan sekadar sebagai litar go-kart saja tetapi juga untuk jentera dua roda.

“Kami mula menganjurkan perlumbaan ‘pocket bike’ membabitkan jentera lumba dua roda yang kecil. Ketika itulah muncul nama-nama seperti Hafizh Syahrin dan Ramdan. Kalau melihat kepada keadaan mereka ketika itu memang agak susah.

“Tetapi ibu bapa mereka memberi sokongan padu. Bermula daripada perlumbaan itulah juga ramai pencari bakat yang hadir dan menawarkan kontrak kepada mereka untuk beraksi di saingan Kejuaraan Cub Prix,” katanya.

Sayed buat kali pertama mendedahkan beliau sering memberi kebenaran kepada pelumba seperti Hafizh, Ramdan dan Zulfahmi Khairuddin untuk menggunakan litar itu secara percuma kerana menyedari bebanan mereka untuk membayar kadar sewa ketika itu.

“Seperti saya katakan tadi, kebanyakan mereka tidak berduit. Ada yang datang ke litar dengan memakai kasut koyak dan kemudian dibalut dengan pelekat. Melihat keadaan mereka, saya rasa apa salahnya kami membantu dengan membenarkan mereka berlatih di litar ini tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Saya katakan kepada mereka ketika itu, selagi litar ini tidak bertindih dengan jadual lain, gunalah semaksimum mungkin. Nak baring tengah-tengah litar pun tak apa. Nak simpan motor mereka di litar ini pun boleh. Tak perlu susah-susah hendak angkut bawa balik.

“Sebab ketika itu saya sudah nampak bakat mereka dan akhirnya anda sendiri dapat melihat di mana mereka sekarang,” katanya.

Jelas Sayed, litar itu juga membentuk disiplin dan pendedahan awal dalam kalangan pelumba sebelum mereka melangkah ke era perlumbaan lebih profesional.

“Apabila kami menganjurkan kejohanan, segala peraturan harus diikuti dan mengikut apa yang ditetapkan oleh MAM (Persatuan Permotoran Malaysia). Sebab itu apabila pelumba ini melangkah ke kejohanan lebih tinggi, mereka tidak kekok untuk mengikut segala peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:05 AM