MBAPPE (kiri) meraikan kejayaannya meledak hatrik di Bruges. — FOTO EPA
AFP

PEMAIN gantian Kylian Mbappe menyumbat hatrik ketika Paris Saint-Germain semakin menghampiri pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas membenam Club Brugge 5-0 di Bruges, awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia itu, yang hanya memulakan empat perlawanan musim ini kerana kecederaan paha dan hamstring, meledak tiga gol dalam tempoh 20 minit untuk melonjak PSG lima mata di depan Real Madrid, yang menewaskan Galatasaray 1-0, di tangga kedua Kumpulan A.

“Saya mahu turun dalam kesebelasan utama dan saya fikir boleh, tapi jurulatih menentukannya jadi saya menerima keputusan itu. Saya juga mahu membuktikan mereka sukar tanpa kehadiran saya,” kata Mbappe kepada badan penyiar RMC Sport.

“Saya perlu berjuang untuk mengekalkan tempat. Sudah lebih dua bulan sejak saya bermain sepenuh masa. Berasa bagus untuk kembali. Kecederaan saya sudah pulih. Saya 100 peratus,” ujar pemain berusia 20 tahun itu.

Mauro Icardi menjaringkan dua gol lagi ketika rakan senegara dari Argentina, Angel Di Maria membantu tiga daripada gol pasukannya.

Buat kali ketiga di Eropah musim ini, pengendali PSG, Thomas Tuchel tidak mampu menurunkan trio serangannya Neymar, yang digantung di Eropah, Mbappe dan Edinson Cavani yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:51 AM