KROOS (tengah) menjaringkan gol tunggal di Stadium Ali Sami Yen. — FOTO Reuters
Reuters

JARINGAN pemain tengah Jerman, Toni Kroos membantu Real Madrid merakam kemenangan pertama Liga Juara-Juara musim ini selepas mengalahkan Galatasaray 1-0 di Istanbul, awal pagi tadi.

Eden Hazard mengumpan kepada Kroos pada minit ke-18, percubaannya menerjah penjuru atas jaring selepas terbias seorang pertahanan tuan rumah.

Kemenangan itu bermakna Madrid melonjak ke tangga kedua Kumpulan A, namun ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain.

Pasukan kendalian Zinedine Zidane turun tanpa Gareth Bale dan Luka Modric.

Bagaimanapun, Galatasaray turut tidak dapat menurunkan penyerang utama mereka dari Colombia, Radamel Falcao yang masih belum pulih daripada kecederaan.


HAZARD (tengah) bersaing dengan pertahanan Galatasaray dari Brazil, Mariano (kanan). — FOTO AFP

Tuan rumah masih mampu menguji pelawat dengan Florian Andone memaksa penjaga gol Real, Thibaut Courtois bertindak hebat pada awal babak pertama.

“Babak pertama saingan lebih seimbang tapi kami menguasai separuh masa kedua. Saya tidak ragu dengan kemampuan sendiri. Saya tahu kebolehan saya menjaga gawang. Hanya kritikan membina yang saya ambil peduli,” kata penjaga gol Belgium itu yang dikecam hebat sebelum ini.

Namun tidak lama kemudian, Kroos menandakan penampilan ke-100 Liga Juara-Juara dengan gol keduanya musim ini untuk memberikan Madrid kemenangan bermakna.

“Kami bertahan dengan amat bagus dan menyerang dengan baik. Kami perlu menghasilkan persembahan hebat dan berjaya melakukannya,” kata Zidane.

Juara Turki itu di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata daripada tiga perlawanan dan hampir tidak mampu memberi saingan menjelang kunjungan ke Madrid pada 6 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:16 AM