Meor Riduwan Meor Ahmad


ATLET boling elit, Timmy Tan mempertahankan pingat emas dimenangi tiga tahun apabila menjuarai perseorangan lelaki dalam Kejohanan Boling Tenpin Asia 2019 di Kuwait semalam.

Atlet berusia 25 tahun itu mencipta permainan sempurna dengan 10 ‘strike’ di ‘frame’ terakhir untuk mengumpul 1,556 jatuhan pin mengatasi wakil India, Dhruv Sarda (1,542) dan Shusaku Asato dari Jepun (1,552).

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Hafiz Zainuddin yang juga pemenang tiga pingat perak dalam acara beregu, ‘All Events’ dan ‘Masters’ Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia (AYTBC) 2019 di Kuching Sarawak berakhir di tempat keempat dengan 1,512 jatuhan pin.

Tiga tahun lalu dalam Kejohanan Boling Asia ke-24 di Hong Kong, Timmy menyumbang pingat emas pertama skuad negara dalam acara sama.

Timmy ketika dihubungi mendedikasikan kejayaan itu untuk keluarganya dan menegaskan ia tidak akan dicapai tanpa sokongan rakan sepasukan dan jurulatih.


TIMMY Tan mempertahankan pingat emas dimenangi tiga tahun.

“Saya tidak tahu nak kata apa dan amat bangga dengan kejayaan ini. Pada game ketiga saya hanya kumpul 200 jatuhan pin dan ia memberi tekanan.

“Namun, saya katakan pada diri ini bukan pengakhiran dan berusaha bangkit serta fokus balingan demi balingan.

“Ini kerana dengan sistem pemarkahan baru, setiap ‘strike’ memberi 30 mata dan syukur di permainan terakhir saya tahu saya hanya perlu lapan strike untuk mendahuli lawan,” katanya.

Katanya, dia hanya menikmati permainan dan membuat balingan dengan tenang sebelum mendapat 300 mata di permainan terakhir.

Sementara itu pengurus pasukan merangkap Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, semangat juang dipamerkan Timmy cukup tinggi apabila merekodkan permainan sempurna di frame terakhir untuk memenangi pingat emas.

“Dia mempertahankan pingat emas dimenangi pada Kejohanan Boling Asia tiga tahun lalu yang pada pandangan saya tidak ramai atlet melakukannya.

“Saya juga tidak pasti jika ada atlet dapat mempertahankan kejuaraan mereka,” katanya dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:52 PM