SYAHMI SAFARI
Firdaus Hashim


KEJAYAAN Selangor ke atas Perak di peringkat suku akhir membuktikan tidak ada yang mustahil di dalam bola sepak dan itulah yang menjadi pegangan tonggak pertahanan Selangor, Syahmi Safari menjelang aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

Bagi Syahmi, apa saja boleh berlaku dan Red Giants pula memiliki tonik tambahan apabila perlawanan itu bakal berlangsung di venue keramat Selangor, Stadium Shah Alam.

“Kami perlu ada aura sama ketika kami mengatasi Perak sebelum ini. Kami mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2 walaupun tewas 0-1 pada perlawanan pertama. Kami bangkit memenangi aksi timbal balik dengan keputusan 3-1 dan Stadium Shah Alam menjadi saksi,” katanya.

Dia juga percaya, semangat serta catatan sama mampu diulangi kali ini dan walaupun Selangor ketinggalan 1-2 di tangan JDT pada aksi pertama, bukan mustahil buat Red Giants untuk melakar kejutan ke atas skuad pilihan berkenaan.

“Ketika kami di peringkat suku akhir menentang Perak, kami berjaya bangkit daripada satu gol dan rasanya kami mampu ulang semula semangat itu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Katanya lagi, bagi memastikan misi untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34 kekal menyala, dia menegaskan pasukan perlu sentiasa fokus dan mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit di Shah Alam nanti.

“Kami kena lebih berdisiplin tak kira bahagian pertahanan, tengah ataupun depan. Perlu diingat bahawa bahagian depan JDT memang sangat berkualiti.

“Pemain seperti Cabrera, Diogo, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid memang berkualiti. Jika pertahanan kami lalai, kami akan mudah dihukum oleh penyerang JDT. Justeru, kami kena sentiasa menjaga disiplin serta fokus dan tak boleh leka walaupun sesaat kerana ia mampu memadam impian kami untuk ke final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:01 AM