SKUAD berbasikal trek negara tiba di KLIA 2 selepas menyertai Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan. - FOTO Luqman Hakim Zubir
Azlan Muhammad Zain


TUMPUAN skuad trek negara terarah mendapatkan tiket ke Olimpik Tokyo menerusi acara individu selepas rancangan awal mendapatkannya menerusi kuota acara pecut berpasukan gagal dicapai.

Hakikat berkenaan diakui ketua jurulatih negara, John Beasley selepas trio pecut berpasukan sekadar menduduki tempat keempat di Kejohanan Trek Asia 2020 di Korea Selatan, minggu lalu.

Malaysia melonjak satu anak tangga ke kedudukan ke-13 dengan 2992.5 mata namun sudah tidak mampu mengejar lapan pasukan terbaik yang ditawarkan tiket automatik ke Olimpik Tokyo.

Belanda kini mendahului dengan 6300 mata manakala pasukan kelapan adalah Australia dengan 4260 mata.

Pasukan layak ke Olimpik menerusi pecut berpasukan akan dapat beraksi dalam acara berkenaan selain tiket automatik acara keirin dan pecut individu.

"Saya fikir persoalan mengenai pecut berpasukan sudah tidak timbul. Kita akan fokus kepada pecut individu dan keirin. Azizulhasni sudah selesa untuk layak dalam keirin yang secara automatik akan memberinya tempat bagi pecut individu.

"Manakala untuk layak menerusi pecut individu, ia masih perjalanan yang panjang dengan kami perlu konsisten di siri Piala Dunia diikuti Kejohanan Trek Dunia 2020," jelas Beasley.

Bagi ranking kelayakan Olimpik untuk keirin, Malaysia kini di kedudukan keempat dengan 4285 mata manakala di kedudukan ke-16 dengan 1450 mata bagi pecut individu.

Tujuh kedudukan terbaik bagi acara individu akan ke Tokyo selepas ditolak lapan negara yang meraih tiket menerusi pecut berpasukan.

"Pungutan mata di Kejohanan Trek Asia adalah kedua terbanyak selepas Kejohanan Trek Dunia. Jadi secara tidak langsung kejayaan saya memenangi emas dalam pecut individu akan membuka peluang untuk seorang lagi pelumba negara ke Tokyo," kata Azizulhasni.

Shah Firdaus Sahrom dijangka akan mengisi tiket pecut individu sekiranya ia berjaya diraih namun Kejohanan Trek Dunia 2020 di Jerman akan menjadi medan terakhir setiap pelumba meraih mata untuk ke Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:36 PM