MARTIAL meledak gol kemenangan United menerusi sepakan penalti di Belgrade. — FOTO EPA
Reuters

MANCHESTER United menang tipis 1-0 di Partizan Belgrade pada perlawanan tegang aksi Kumpulan L Liga Europa awal pagi tadi ketika sepakan penalti Anthony Martial pada minit ke-43 memastikan kemenangan pertama mereka di laman lawan sejak Mac lalu.

Perlawanan itu diadakan dengan kawalan keselamatan ketat susulan kebimbangan mengenai kekecohan penonton namun ia menghasilkan suasana menakjubkan ketika rayuan jurulatih Partizan, Savo Milosevic kepada penyokong tuan rumah supaya tidak mengejek pelawat ternyata berjaya.

United, yang tersadai di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, mengungguli kumpulan itu dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, dua di depan kelab Belanda, AZ Alkmaar yang membelasah kelab Kazakhstan, Astana 6-0. Partizan mengumpul empat mata dan Astana kosong.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer gembira dengan kemenangan pertama United di gelanggang lawan dalam 12 perlawanan bagi semua pertandingan dan gol pertama mereka di laman lawan sejak Ogos lalu, namun tidak gembira dengan persembahan pasukannya.

“Kami perlu belajar bila untuk mendapatkan gol kedua dan bila untuk meraih gol ketiga,” katanya pada sidang akhbar.


SOLSKJAER memuji persembahan Williams (kiri). — FOTO EPA

“Hari ini kami mempunyai banyak peluang untuk memastikan mampu mendahului selesa tapi kami tidak menggunakan kesempatan itu.”

Solskjaer memuji pertahanan kiri berusia 19 tahun, Brandon Williams serta menyanjung penyokong tuan rumah yang mencetus suasana gegak-gempita di Stadium Partizan.

“Brandon mempunyai sikap yang hebat dan pemain ini akan menjadi pemain ternama satu hari nanti,” kata Solskjaer.

“Bagi saya Brandon adalah pemain terbaik perlawanan. Dia memperagakan aksi fantastik dalam beberapa perlawanan yang disertainya dan dia tidak takut. Keberaniannya bagaikan seekor singa dan hari ini dia membantu kami menang,” ujar pengendali dai Norway itu.

“Penonton juga menakjubkan. Mereka patut berbangga dengan pasukan mereka dan pasukan itu patut amat berbangga dengan penonton. Ia satu suasana mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:58 AM