TRIO lelaki dan wanita boling gah di Kuwait.
Nor Hairulnizam Wahid


Kedua-dua trio lelaki dan wanita boling negara menggegar Kejohanan Tenpin Boling Asia apabila masing-masing menjuarai acara berkenaan di Kuwait malam ini.

Skuad wanita yang dibarisi Shalin Zulkifli, Sin Li Jane dan Esther Cheah terlebih dahulu mengungguli saingan wanita dengan jumlah 4,534 jatuhan pin selepas beraksi selama dua hari, mengatasi tekanan dua pasukan Korea Selatan yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua dan ketiga dengan 4,331 jatuhan pin dan 4,297 jatuhan pin.

Kejayaan mereka segera disusuli pasukan trio lelaki yang dibarisi Mohd Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Fishol yang mencatat 4,290 jatuhan pin mengatasi pasukan Kuwait dengan 4,280 jatuhan pin.

Tidak menghampakan gandingan Hafiz Zainuddin, Timmy Tan dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam di tangga ketiga dengan 4,246 jatuhan pin.

Menurut Rafiq, perlawanan malam ini sesuatu yang sukar kerana berdepan tekanan Kuwait yang berpeluang muncul juara.

“Saya rasa bagai dibuai mimpi kerana Kuwait perlu menjatuhkan 655 jatuhan pin untuk mengejar kami tetapi mereka mendapat lane yang berterabur, mereka tertekan, mereka perlu strike untuk menang tetapi tidak bejaya.

“Saya gembira malam ini boleh tidur lena,” kata Rafiq.

Menurut Shalin yang sebelum ini menjulang emas acara perseorangan, dia banyak terhutang budi kepada Esther dan Li Jane yang membantunya dalam aksi semalam.

“Alhamdulillah, dapat emas untuk pasukan. Esther dan Li Jane banyak bantu saya semalam. Hari ini saya berjaya recover.

“Saya rasa bersyukur, akan teruskan semangat untuk dapatkan pingat emas dalam acara berpasukan,” kata Shalin.

Bagi jurulatih Holloway Cheah, beliau berbangga apabila pasukan lelaki akhirnya meraih sesuatu dalam kejohanan ini.

“Mereka menang emas dan gangsa dalam acara trio dan pasukan wanita sekali lagi membuktikan kehebatan mereka. Kini saya menantikan acara berpasukan dan saya harapkan pasukan lelaki dan wanita boleh memenanginya,” kata Holloway.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 9:51 PM