KEDAH mara ke final selepas hadapai cabaran getir Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG


SKUAD Kedah melangkah ke pentas final Piala Malaysia selepas mencatat keputusan 8-8 menerusi agregat di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Kelebihan gol di tempat lawan apabila seri 5-5 mengesahkan skuad Helang Merah selepas seri 3-3 pada separuh akhir pertama di Alor Setar 19 Oktober lalu.

Pada perlawanan itu, kapten Helang Merah, Fernando Rodriguez mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima umpanan daripada Baddrol Bakhtiar seawal minit kelapan.

Minit ke-33, penantian skuad Tok Gajah berakhir sebaik penyerang import, Dickson Nwakaeme menjaringkan gol penyamaan 1-1 dari luar kotak penalti menewaskan Mohd Ifwat Akmal.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat kembali berada di hadapan hasil sentuhan Jonathan Bauman menewaskan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias minit ke-54.

Pada minit ke-71, Lazarus Kaimbi kembali menceriakan penyokong Tok Gajah apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2.

Belum sempat Kedah mengatur gerak, Kaimbi menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadi untuk meletakkan Pahang selesa mendahulu 3-2 pada minit ke-76.

Pada minit ke-85, Kedah menyamakan kedudukan 3-3 hasil jaringan yang dilakukan Baddrol untuk mengheret ke masa tambahan.

Sebaik bermain pada masa tambahan, Kedah tidak menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi jaringan Renan Alves untuk meletakkan kedudukan 4-3 pada minit ke-92.

Minit ke-114, pemain pertahanan, Herold Goulon tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti dan merapatkan 4-4.

Tiga minit sebelum tamat perlawanan, Rodriguez memadam impian tuan rumah untuk memastikan Kedah menang 5-4 di tempat lawan.

Biarpun Nwakaeme meledak gol pada minit terakhir, ia ternyata belum cukup untuk membantu tuan rumah untuk mengisi slot ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 12:01 AM