Pemain pasukan Kedah meraikan kejayaan selepasberjaya mengalahkan Pahang pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia. FOTO Farizul Hafiz Awang
Pemain pasukan Kedah meraikan kejayaan selepasberjaya mengalahkan Pahang pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


JURULATIH Kedah, Aidil Sharin Sahak memuji disiplin terutama semangat juang tinggi yang ditampilkan pemainnya untuk membawa skuad itu beraksi di pentas final Piala Malaysia.

Katanya, kejayaan itu membuktikan bahawa anak buahnya tidak mengenal erti berputus asa selepas diikat skuad Pahang 3-3 pada separuh akhir pertama di Alor Setar pada 19 Oktober lalu.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana kita dapat yang diinginkan walaupun pada satu ketika ketinggalan 2-3 dan bangkit menyamakan kedudukan 3-3 sebelum tempoh 90 minit perlawanan tamat.

"Bagi saya, aksi separuh akhir Piala Malaysia tidak boleh dilupakan kerana ia berakhir dengan keputusan 8-8 menerusi agregat.

"Paling penting pemain memberikan 100 peratus sepanjang tempoh 120 minit perlawanan dan ia berakhir dengan keputusan membanggakan," katanya.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP

Aidil Sharin berkata, kejayaan itu bukannya disebabkan faktor seorang pemain tetapi ia adalah kerjasama dan persefahaman mantap yang dipamerkan semua pemain.

Mengulas aksi final berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Shari berkata bukan sesuatu yang mudah untuk menewaskan juara Liga Super itu.

Namun, katanya, skuad itu menjanjikan prestasi terbaik seperti yang dipamerkan ketika menewaskan skuad Tok Gajah.

"Kejayaan ini juga meningkatkan motivasi pemain kerana bukan mudah sebuah pasukan layak ke final sebanyak dua kali dalam satu musim," katanya yang membawa pasukan Kedah muncul juara Piala FA tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 11:21 AM