SAFAWI meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, Selangor menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Shah Alam, Shah Alam.FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


PELEDAK hatrik Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid nyata puas apabila berjaya membawa pasukannya mara ke pentas final Piala Malaysia selepas tiga jaringannya membantu JDT membenam Selangor 3-0 di separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malah, menerusi keputusan bergaya itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melakar agregat besar 5-1 selepas turut meraih kemenangan 2-1 ketika aksi pertama di Larkin, minggu lalu.

Jelas Safawi, dia berpuas hati apabila dapat menjaringkan tiga gol untuk pasukan bagi menebus kembali prestasi kurang memberangsangkan di separuh akhir pertama lalu.

Namun baginya, tanpa kerja keras rakan sepasukan, tiga gol itu tidak akan hadir dan menganggap kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pemain yang turut menjadi tulang belakang kepada kemenangan itu.

“Saya memang tidak nafikan agak penat dalam aksi separuh akhir pertama kerana baru selesai tugas bersama skuad kebangsaan.

“Tetapi itu bukan masalah sebenarnya kerana sebagai pemain sudah pasti kadang-kadang ada hari yang saya akan beraksi baik, kadang-kadang ada yang tidak menjadi.

“Apa-apa pun ini rezeki saya berjaya melakukan hatrik di mana yang paling penting adalah kerjasama daripada rakan sepasukan yang turut membantu dan saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka atas kemenangan ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, juara Liga Super itu bakal ditentang juara Piala FA, Kedah yang mengejutkan Pahang di Kuantan.

Ia sekaligus mengulangi aksi final 2017 yang menyaksikan JDT menewaskan skuad Helang Merah dengan 2-0.

Ujar Safawi lagi, dia enggan terlepas aksi final kali ini selepas dua tahun lalu tidak disenaraikan dalam skuad utama pasukan.

“Apatah lagi, saya belum pernah berpeluang untuk beraksi pada final terakhir kami dua tahun lalu, dan tahun ini saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan menjadi milik kami sekali lagi,” kata penyerang Harimau Malaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 6:34 PM