Penyerang Roma, Edin Dzeko (kanan) diasak pemain AC Milan pada aksi Serie A Itali, pagi ini. FOTO AFP
Penyerang Roma, Edin Dzeko (kanan) diasak pemain AC Milan pada aksi Serie A Itali, pagi ini. FOTO AFP
Reuters

AS Roma menewaskan pasukan bergelut AC Milan, 2-1 di Stadio Olimpico awal pagi ini, untuk melonjak di kedudukan kelima dalam Serie A Itali dan meneruskan rentetan keputusan buruk pasukan pelawat.

Edin Dzeko menanduk masuk gol pembukaan tuan rumah pada separuh masa pertama sebelum Theo Hernandez menyamakan kedudukan buat Milan sebelum waktu rehat.

Nicolo Zaniolo menjaringkan gol kemenangan selepas 59 minit beraksi untuk meletakkan Roma mendahului Cagliari di kedudukan kelima dengan 16 mata, satu mata di belakang Napoli di tempat keempat dan slot terakhir Liga Juara-Juara.

“Pemain memberikan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan, tetapi ia bukan mudah kerana pada ketika ini untuk bermain tiga perlawanan dalam seminggu, jadi mereka benar-benar berhak,” kata jurulatih Roma, Paulo Fonseca kepada Sky Sport Italia.

“Zaniolo mempunyai detik permainan yang hebat, menjaringkan gol penting buat kami dan kami memperoleh tiga mata cukup penting buat pasukan.”

Stefano Pioli sudah memperoleh satu mata daripada dua perlawanan awal sejak mengambil alih tugas daripada Marco Giampaolo sebagai jurulatih Milan, ketika seri 2-2 berdepan Lecce dalam penampilan pertama di San Siro.

Milan berada di kedudukan ke-12 liga dengan 10 mata, hanya menang satu perlawanan daripada enam perlawanan terakhir mereka.

“Saya mengharapkan sesuatu yang lebih,” kata Pioli. “Selepas dua perlawanan, kami secara jujur menyerahkan kepada kegagalan untuk mencatat kemenangan. Kami melakukan kesilapan yang sangat ketara kepada kelab dan status kami.”

Ciro Immobile (kanan) muncul wira Lazio ketika berdepan Fiorentina. FOTO EPA
Ciro Immobile (kanan) muncul wira Lazio ketika berdepan Fiorentina. FOTO EPA

Sementara itu di Stadio Artemio Franchi, tandukan Ciro Immobile pada minit ke-89 membantu kemenangan Lazio, 2-1 ke atas Fiorentina untuk melonjak pasukan itu di kedudukan keenam, satu mata di belakang Roma dalam carta Serie A.

Joaquin Correa meletakkan pelawat di depan pada separuh masa pertama sebelum Federico Chiesa menyamakan kedudukan, namun jaringan lewat Immobile memastikan kemenangan pasukan sebelum sepakan penalti pemain gantian Lazio, Felipe Caicedo diselamatkan Bartlomiej Dragowski.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:06 PM