Rayzam beri amaran tewaskan empat pencabar pada Pra Sukan SEA. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Rayzam beri amaran tewaskan empat pencabar pada Pra Sukan SEA. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN dibelenggu kecederaan, jaguh 110 meter berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian membuktikan dirinya masih berbisa apabila meraih pingat emas dalam ujian Pra-Sukan SEA Filipina, semalam.

Kejayaan pelari kelahiran Keningau, Sabah dengan catatan 14.47s itu dianggap sebagai medan 'pemanas badan' dan ujian terakhirnya menghadapi temasya sukan dwitahunan berkenaan, bulan depan.

Pada kejohanan yang berlangsung di Clark, pemegang rekod kebangsaan berusia 31 tahun itu menewaskan empat pencabar lain termasuk pelari tuan rumah dan Singapura.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berpuas hati dengan prestasi positif Rayzam Shah yang dilihat lebih baik berbanding beberapa kejohanan lain sebelum ini.

"Selepas menempuh proses pemulihan akibat kecederaan, ujian Pra-Sukan SEA ini menjadi kejohanan terkini dan juga terakhir kepada beliau untuk menguji prestasinya.

"Saya berharap beliau dapat terus mengekalkan momentum itu untuk mempertahankan emas dengan memperoleh catatan terbaik di Filipina nanti," katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu, kuartet 4x400 wanita negara menerusi gandingan Fatin Faqihah Mohd Yusof, Zaimah Atifah, Nurul Faizah Asmah Mazlan dan Teoh Kim Chyi turut meraih perak, manakala atlet lompat tinggi wanita, Yap Sean Yee memperoleh gangsa dengan lompatan 1.71m.

"Saya turut berpuas hati dengan pencapaian barisan kuartet yang baru dibentuk itu kerana semuanya mencapai sasaran catatan 3:45 saat ditetapkan sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, pada edisi di Kuala Lumpur 2017, Rayzam Shah meraih emas dengan catatan 13.83s sekali gus mengulangi kejayaannya di Sukan SEA Thailand 2007 pada usia hanya 18 tahun ketika itu.

Olahragawan Sabah yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67s itu patah tangan kanan ketika menyertai Grand Prix Terbuka Malaysia, April lalu, dan memilih menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 5:14 PM