Penyokong Johor paling ramai ke stadium. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Penyokong Johor paling ramai ke stadium. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan saja membuktikan dibarisi pemain berkualiti dan hebat namun penonton mereka turut cemerlang apabila terus mengekalkan rekod sebagai paling tinggi dari segi kehadiran penyokong di stadium untuk lima tahun berturut-turut.

Menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, pasukan terbabit berjaya memperoleh kehadiran penyokong seramai 196,858 orang pada musim ini bagi semua pertandingan merangkumi Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

“JST mencatatkan kehadiran penyokong tertinggi di Malaysia untuk lima tahun berturut-turut sejak 2015 hingga 2019 mengikut statistik yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya, menerusi kenyataan di laman Facebook terbabit.

Selain JDT, Kedah juga mencatatkan kehadiran penonton kedua tertinggi dengan seramai 192,617 orang.

Namun, mengikut rekod, tahun ini kehadiran penonton ke stadium menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu.

Pada 2018, JDT memperoleh kehadiran seramai 216,220 orang iaitu lebih tinggi berbanding apa yang diperoleh pada tahun ini.

Dari sudut purata pula, JDT mencatatkan seramai 11,580 orang penyokong hadir sepanjang pada setiap perlawanan.

Rekod yang dicatatkan ini menyaksikan JDT masih lagi pasukan yang berjaya menarik penyokong untuk ke stadium secara konsisten ke stadium selain pasukan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 3:12 PM