PEREIRA (kiri) dibentes pemain Norwich, Alexander Tettey pada aksi liga Ahad lalu. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyokong Fred dan Andreas Pereira untuk mencetus kreativiti dan tenaga di bahagian tengah pasukannya susulan ketiadaan Paul Pogba yang mengalami kecederaan.

Pogba, pemenang Piala Dunia bersama Perancis, yang terlepas lapan daripada 10 aksi terakhir United, dijangka terus diketepikan hingga Disember ini kerana masalah kecederaan buku lali.

Pereira tampil dalam tujuh aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dan menunjukkan keserasian bersama rakan tengah dari Brazil, Fred dan Scott McTominay ketika United membenam Norwich City 3-1 Ahad lalu.

“Saya fikir tenaga dan kemahiran mereka, dua pemain Brazil ini, Fred dan Andreas - mereka penting buat kami,” kata Solskjaer kepada wartawan menjelang aksi Piala Liga United menentang Chelsea awal pagi Khamis ini.

FRED dijangka ambil alih tempat Pogba. — FOTO AFP

“Fred mungkin akan mengambil tempat Paul ketika ini dan ia bagus buat kami. Tapi Andreas sudah meningkat dalam beberapa perlawanan terakhir. Tenaga dan lariannya, mengejar bola amat mengagumkan.

“Tiada guna bercakap mengenai siapa yang tidak berada di sini buat masa yang lama... Paul amat cemerlang dan dia pemain tengah kreatif yang kami perlukan, tapi terpulang kepada pemain lain supaya tampil.”

United terlalu unggul ketika membenam Chelsea 4-0 pada minggu pembukaan musim namun Solskjaer tidak menjangkakan keputusan sama di Stamford Bridge.

Chelsea kendalian Frank Lampard menang tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dengan pemain muda Tammy Abraham, Mason Mount dan Fikayo Tomori mengukuhkan tempat mereka dalam pasukan utama selepas menghabiskan musim lalu beraksi secara pinjaman di kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 12:31 AM