HOLGATE menjaringan gol pertama Everton menerusi tandukan. - FOTO Reuters
Reuters

EVERTON meredakan tekanan ke atas pengurus, Marco Silva selepas menang 2-0 ke atas bekas kelab Watford di Goodison Park untuk mara ke suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi.

Skuad Silva menghampiri zon penyingkiran Liga Perdana selepas tewas saat akhir di Brighton pada Sabtu lalu.

Satu lagi kekalahan di Watford bakal menyaksikan ‘bala’ menimpa Silva tetapi jaringan Mason Holgate dan Richarlison memberikan nafas baharu kepada pengendal itu.

Everton yang belum pernah menjulang trofi Piala Liga terpaksa menunggu hingga minit ke-72 untuk menembusi benteng Watford.

Theo Walcott membuat hantaran kepada Holgate dan pemain pertahanan itu memastikan Everton di depan dengan tandukan dari jarak dekat.

Bekas penyerang Watford, Richarlison melengkapkan kemenangan dengan penyudah menarik pada masa kecederaan.

“Kami berhak menang. Kami sedikit perlahan di babak pertama tetapi lebih baik di babak kedua. Kami lebih pantas, lebih yakin dan berjaya mendapatkan gol,” kata Silva.

Leicester turut menyertai Manchester City dan Everton ke peringkat suku akhir selepas mengatasi pasukan divisyen tiga Burton 3-1.

Skuad kendalian Brendan Rodgers itu mengekalkan prestasi cemerlang walaupun melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad yang membelasah Southampton 9-0 Sabtu lalu.

Kelechi Iheanacho, Youri Tielemans dan James Maddison menjaringkan gol untuk Leicester pada minit ketujuh, 20 dan 89 manakala gol tunggal Burton dijaringkan Liam Boyce pada minit ke-52.

Sementara itu Oxford menewaskan pesaing divisyen tiga Sunderland 4-2 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam tempoh permainan sebenar.

Juara Piala Liga 1986 itu mara ke kelompok lapan terakhir buat pertama kali sejak tahun 1988. Pada pusingan ketiga mereka membelasah West Ham 4-0.

Colchester pula menang 3-1 ke atas pesaing divisyen empat Crawley susulan kemenangan mengejut ke atas Tottenham pada pusingan sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:11 AM