INSIDEN kekasaran ke atas Hudson-Odoi (tengah) yang menyaksikan Chelsea diberikan penalti namun dibatalkan pengadil selepas reviu VAR mendapati pemain itu sengaja menjatuhkan badan. - FOTO Agensi
AFP

FRANK Lampard berkata, dia tidak perlu memberi amaran kepada Callum Hudson-Odoi selepas pemain sayap Chelsea itu menerima kad kuning susulan sengaja menjatuhkan badan ketika menentang Burnley.

Pada mulanya, Hudson-Odoi diberikan penalti selepas dikasari dalam kotak penalti ketika Chelsea menang 4-2 pada Sabtu lalu tetapi pemain antarabangsa England itu dilayangkan kad kuning selepas reviu VAR mendapati dia sengaja menjatuhkan badan.

Pengurus Burnley, Sean Dyche jelas berang dengan lakonan Hudson-Odoi dengan menganggap tindakan pemain itu memalukan dan terdesak kerana membabitkan pemain muda.

Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Lampard tetap menegaskan pemain berusia 18 tahun itu tidak ‘berlakon’ jadi dia tidak perlu menegur Hudson-Odoi.

"Tiada apa- apa, tiada. Saya tak rasa ia perlu,” kata Lampard ketika ditanya apa diperkatakannya kepada Hudson-Odoi.

"Saya tanya dia selepas perlawanan, dia kata ada sentuhan. Jelas apabila anda melihat dari belakang ada tangan menyentuhnya dari belakang. Saya tahu ia agak ringan.

"Saya tak kata ia pasti penalti tetapi dia tidak berlakon menjatuhkan badan.”

Pengadil, Michael Oliver kemudiannya menukar keputusan penalti diberikan selepas merujuk pengadil bantun video (VAR).

Chelsea kini menang tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan menjelang aksi Piala Liga menentang Manchester United di Stamford Bridge, awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 12:46 PM