AKSI Jones menjaringkan penalti kemenangan Liverpool. - FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL mara ke suku akhir Piala Liga selepas menewaskan Arsenal dalam aksi penuh dramatik menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 5-5 dan menang 5-4 menerusi penentuan penalti manakala Manchester United menang 2-1 di Chelsea, awal pagi tadi.

Kedua-dua pengurus, Jurgen Klopp dan Unai Emery melakukan 11 pertukaran dalam aksi pusingan keempat itu tetapi tetap menjadi salah satu perlawanan paling menarik di Anfield musim ini dengan Gunners beberapa kali mendahului tuan rumah.

Ketika penentuan penalti, sepakan Dani Ceballos diselamatkan penjaga gol Ireland berusia 20 tahun, Caoimhin Kelleher sebelum pemain muda Liverpool berusia 18 tahun, Curtis Jones menjaringkan penalti kemenangan.

Liverpool menang Piala Liga dengan rekod lapan kali dan mereka berpeluang menjulang trofi itu buat kali pertama sejak 2012.


KLOPP memeluk Jones selepas tamat perlawanan. - FOTO AFP

"Kami terlalu terbuka. Kami boleh bercakap mengenai taktik tetapi siapa peduli pada malam seperti ini. Saya harap pemain saya dapat mengingati perlawanan ini,” kata Klopp.

"Ia seperti mimpi untuk pemain muda beraksi kali pertama di Anfield. Semua gol kami cantik.”

Liverpool mendahului pada minit keenam selepas pemain Arsenal, Shkodran Mustafi menjaringkan gol sendiri.

Arsenal menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila Mesut Ozil melorongkan bola kepada Bukayo Saka yang meledak rembatan namun ditampan Kelleher dan bola muntah pantas ditolak masuk Lucas Torreira.

Pemain remaja Brazil, Gabriel Martinelli meletakkan Arsenal di depan tujuh minit kemudian selepas menolak bola tampanan kurang kemas Kelleher dari jarak dekat.

Kesilapan Harvey Elliott menghantar bola kepada Ozil pantas dimanfaatkan dengan menghantar kepada Saka yang kemudiannya membuat hantaran lintang kepada Martinelli yang merembat untuk gol ketiga pelawat.

Pada minit ke-43 Elliott dikasari dan James Milner tenang menyempurnakan sepakan penalti tetapi Ainsley Maitland-Niles menjadikan kedudukan 4-2 hasil kesilapan Milner.

Liverpool kembali merapatkan kedudukan menerusi rembatan kencang Alex Oxlade-Chamberlain dari luar kotak penalti dan berjaya menyamakan kedudukan 4-4 pada minit ke-62 apabila Origi yang menerima hantaran Jones meledak rembatan yang gagal di tampan kemas penjaga gol Arsenal, Emiliano Martinez.

Joe Willock kembali meletakkan Arsenal di depan tetapi Origi sekali lagi menggamatkan Anfied dengan menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 7:25 AM