PEMAIN tengah Monaco, Aleksandr Golovin (tengah) cuba menembusi gawang Marseille yang dikawal Steve Mandanda (kanan). - FOTO AFP
PEMAIN tengah Monaco, Aleksandr Golovin (tengah) cuba menembusi gawang Marseille yang dikawal Steve Mandanda (kanan). - FOTO AFP
AFP

MARSEILLE terus dirundung malang musim ini selepas tersingkir daripada saingan Piala Liga Perancis apabila tewas kepada Monaco 1-2, awal pagi tadi hanya selepas beberapa hari dimalukan PSG 0-4 dalam aksi Ligue 1.

Dengan hanya satu kemenangan daripada tujuh aksi terakhir, tekanan makin memuncak di bahu jurulatih, Andre Villas-Boas apabila pasukannya kini menduduki tangga ketujuh, 11 mata di belakang juara PSG.

"Babak pertama memang hambar dan kami berbincang ketika rehat. Kami kata ia tak sepatutnya dan adalah ajaib membandingkan babak pertama dengan babak kedua,” kata Villas-Boas.

"Kami boleh terima tewas kepada PSG berdasarkan kualiti mereka tetapi tidak seperti ini, tewas kepada Monaco.

"Saya mahu menang piala ini, begitu juga pasukan. Amat memalukan kerana penyokong ada bersama kami sejak awal sehingga tamat permainan. Sekarang kami perlu memberi mereka sesuatu.”

Walaupun melakukan tujuh pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Nantes 1-0 Ahad lalu, jurulatih Monaco, Leonardo Jardim tetap miliki senjata mencukupi untuk menghampakan Marseille.

Kedua-dua jaringan Monaco diperolehi pada babak pertama. Penyerang pinjaman, Jean-Kevin Augustin membuka tirai jaringan pada minit ke-25 selepas mendapat hantaran Ruben Aguilar yang kemudiannya menambah gol kedua lima minit sebelum rehat.

Marseille mendapat gol pada minit ke-77 hasil jaringan sendiri Benjamin Lecomte dan mereka berdepan tugas sukar hujung minggu ini apabila menerima kunjungan pasukan di tangga ketiga, Lille di Stade Velodrome.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 10:38 AM
Digital NSTP Subscribe