MALONEY. FOTO facebook FAM
Syazwan Msar


SKUAD Bawah 18 Tahun (B-18) negara bermula langkah kanan pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Phnom Penh apabila mengatasi tuan rumah Kemboja 5-4 malam ini.

Namun perlawanan itu dicemari insiden dua layangan kad merah diterima Ahmad Zikri Khalili dan Mukhairi Ajmal hingga memberi lebih banyak ruang kepada lawan meledak jaringan.

Malaysia pada satu ketika berada di kedudukan selesa apabila mengakhiri babak pertama dengan 3-0.

Gol skuad kendalian Brad Maloney dihasilkan oleh Shafi Azswa pada minit ke-30 diikuti jaringan Fakrul Iman (m-40) dan Azrin Afiq (m-43).

Empat belas minit selepas rehat, Zikri dan Mukhairi dibuang padang dan peluang itu dimanfaatkan Kemboja untuk meledak dua gol pantas menerusi Met Samel pada minit ke-61 dan Chea Sokmeng (m-65).

Pada minit ke-67, penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin terus mempamer ketajaman apabila meledak gol keempat negara diikuti jaringan kemenangan Muslihuddin Atiq Mat Zahid pada minit ke-74.

Tuan rumah menambah dua gol lagi menerusi Sieng Chanthea (m-77) dan Ly Mael (m-90).

Anak buah Maloney akan menentang Brunei pada aksi kedua Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 10:46 PM