Penyerang Liverpool, Sadio Mane (kiri) meraikan jaringan ketika berdepan Aston Villa. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL mempamerkan aksi kebangkitan untuk menewaskan Aston Villa 2-1 terima kasih kepada jaringan minit akhir kemenangan oleh Sadio Mane dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Manchester City terus mengekori rapat pendahulu Liga Perdana selepas mereka turut menerima nasib sama sebelum menang 2-1 ke atas Southampton, awal pagi ini.

Barisan kendalian Jurgen Klopp dikejutkan menerusi jaringan pada separuh masa pertama di Villa Park, namun bangkit untuk meneruskan rekod tanpa kalah musim ini dalam aksi penuh dramatik.

Andy Robertson menyamakan kedudukan jaringan dengan empat minit sebelum tamat perlawanan sebelum gol sumbangan penyerang Senegal, Mane pada minit terakhir perlawanan memberikan kemenangan ke 10 dalam 11 perlawanan liga.

The Reds, memburu kejuaraan Inggeris pertama mereka sejak 1990, mendahului enam mata daripada pasukan di tempat kedua City.

“Ia perasaan yang sangat lega. Ia sangat memuaskan dan kemenangan itu hadir dari rutin sepakan sudut yang sudah kami cuba beberapa kali,” kata Klopp.

“Ia bukan kerana kebangkitan semula kami dalam beberapa perlawanan lain sebelum ini, ia hanya mengenai bagaimana untuk terus berusaha kerana kami tidak mempunyai peluang lain pada harus yang lain.”


LAMPARD

Juara bertahan bimbingan Pep Guardiola ketinggalan menerusi gol awal pada separuh masa pertama oleh James Ward-Prowse di Stadium Etihad.

Namun Sergio Aguero menyamakan kedudukan buat City dengan berbaki 20 minit permainan dan Kyle Walker memastikan jaringan kemenangan pada minit ke-86 untuk terus mencabar Liverpool.

“Pada musim pertama kami menang kejuaraan liga, kami mempunyai 100 mata dan menang empat daripada lima perlawanan di minit-minit akhir, musim lalu kami menang dengan selesa. Ok, ini seperti tahun pertama,” kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 10:52 AM